It is Not IMPOSSIBLE with CONSISTENT and PERSISTENT.
Timbul kagum dan cemburu pada hafiz dan hafizah Quran. Mereka berpeluang dan berjaya untuk menghafal kalamullah. Subhanallah. Faedah yang mereka dapat bukan sahaja di dunia malah di akhirat. ALLAH pun sayang. Apalagi yang lebih besar maknanya bila ALLAH sayang dan pandang. Rahmat dan redha ALLAH yang kita cari untuk selamat dunia akhirat..
Kita semua ingin punya akhlak yang indah seperti Rasulullah dan para sahabat, memperbaiki hati supaya menjadi hati yang sejahtera, aman putih bersih tanpa titik hitam untuk berjumpa dengan ALLAH S.W.T. Pabila kalamullah didalam hati dan redha ALLAH dicari sudah pasti maksud itu tercapai..In sha ALLAH. Kepada ALLAH jua kita minta untuk dikuatkan hati untuk menghafal al-Quran menghapus rasa ragu, takut, putus asa. Mujahadah yang berterusan melawan pengaruh negatif dari dalam diri atau sekeliling. Hanya kepada ALLAH kita meminta. Moga ALLAH membantu hambanya yang ingin menghafal kalamNYA.
Firman ALLAH S.W.T ayat 17 dari surah al-Qamar yang bermaksud: “Dan sungguh, telah kami mudahkan al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang ingin mengambil pelajaran.” Daripada ayat surah al-Qamar ini al-Qurtubi berkata : Ayat ini bermaksud “ Kami telah menjadikan al-Quran itu mudah untuk dihafal dan Kami akan menolong sesiapa yang mahu menghafal. Jadi adakah sesiapa yang ingin menghafalnya supaya Kami dapat menolong dia?” Ini merupakan salah satu pendorong bagi sesiapa yang ingin hafal al-Quran.
Untuk menghafal Quran perlukan mujahadah. Kesungguhan yang kuat. Bukan berhenti setakat menghafal sahaja. Tapi tahu ilmu tafsir, asbabun nuzul ayat supaya lagi banyak istifadah kebaikan yang kita dapat. Supaya berbeza dengan orang Yahudi yang ALLAH beri kitab kepada mereka namun ianya sia-sia kerana mereka tidak mempelajarinya setakat hafalan sahaja.
Diantara faktor-faktor yang membantu untuk menghafal al-Quran:
1) Mentauhidkan ALLAH S.W.T.
Sesiapa yang mentauhidkan ALLAH S.W.T, DIA akan membuka segala pintu kebaikan dan yang paling utama diantara pintu-pintu itu adalah menghafal al-Quran.
2) Ikhlas pada niat.
Bagi sesiapa yang ingin hafal kalamullah perlu menyucikan hati daripada perkara buruk dan jadikan niat itu ikhlas HANYA kerana ALLAH S.W.T. supaya ALLAH permudahkan jalan untuk menghafal.
3) Doa merupakan sebab yang paling utama membantu dalam penghafalan kerana Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “ Doa itu merupakan ibadat” . Riwayat Abu Daud no 1479. Baginda menyuruh kita untuk yakin bahawa doa itu diterima. Baginda bersabda “Berdoalah kepada ALLAH dengan yakin akan dimakbulkan olehNya,dan ketahuilah ALLAH tidak akan mengabulkan doa dari hati yang lalai dan lengah.” Riwayat al-Bukhari no 7477. Seperti yang dikatakan “ sesiapa yang berterusan mengetuk pintu, pintu itu akan terbuka untuknya. Perbanyakkan doa.
4) Minta keampunan.
Kita lupa apa yang dihafal kerana dosa yang dilakukan. Oleh sebab itu kita kena banyakkan istighfar. Ibn Mas’ood r.a berkata, “Aku mengira seseorang itu lupa ilmu yang dia telah belajar kerana dosa yang dilakukan.”
5) Membersihkan jiwa daripada akhlak buruk.
6) Niat untuk memperbaiki hati dan bersihkan jiwa dengan pembelajaran/penghafalan tersebut.
7) Peruntukkan masa yang khusus untuk menghafal.
8) Dapatkan kawan untuk wujudkan persaingan supaya rasa ada orang lain yang mendahului kita dalam buat perkara baik ini. Untuk membantu menaikkan semangat meneruskan penghafalan.
9) Jangan meninggalkan membaca/tilawah al-Quran kerana sibuk menghafal kerana melihat mushaf memastikan betulnya hafalan dan menjadikan kita mengingati dan tadabbur berfikir sehingga hati kita hidup dengan setiap ayat.
10) Solat hajat dimana kita minta pada ALLAH pertolongan, ketepatan dalam menghafal dan juga ikhlas. Juga solat taubat supaya dosa kita tidak menghalang kita untuk menghafal al-Quran.
11) Baca tafsir ayat yang ingin dihafal kerana ia membantu untuk mengukuhkan ayat itu dalam ingatan.
12) Jadualkan penghafalan. Tetapkan ayat yang ingin dihafal mengikut kemampuan setiap hari.
13) Berdamping dengan sheikh atau sheikhah supaya tidak silap dalam hafalan.
14) Kekal dengan hanya satu mushaf untuk menghafal sehingga mampu untuk mengingati kedudukan ayat dan surah.
15) Sentiasa berzikir pagi dan petang dan baca doa lindungi diri dari rancangan syaitan yang menjadi sebab ALLAH berikan perlindungan diambil dari al-Quran dan Sunnah.
16) Berusaha seboleh mungkin untuk solat dengan ayat yang telah dihafal pada hari tersebut dalam solat sunat atau fardhu supaya hafazan mengakar kuat dalam ingatan.
17) Qiyamullail. Tahajjud pada sepertiga akhir malam merupakan waktu yang penuh rahmat dimana ALLAH S.W.T turun ke langit dunia sepertimana direkodkan dalam Sohihain, “ Siapakah yang mahu berdoa kepadaKU nescaya AKU menerima doanya. Siapakah yang mahu meminta kepadaKU, nescaya AKU berikan. Siapakah yang mahu memohon ampun kepadaKU, nescaya AKU mengampunkannya. Jadi kita minta ALLAH S.W.T mengampunkan dosa kita dan memuliakan kita dengan penghafalan al-Quran.
18) Utamakan al-Quran atas perkara yang lain dengan memulakan belajar dengan mengingat kembali apa yang dihafal kemudian sibukkan diri dengan ilmu lain.
19) Jika gagal untuk mengingati hafazan atau terlepas rutin harian dalam baca al-Quran penalise diri dengan melakukan amalan dibenarkan seperti puasa, sedekah, qiyamullail,etc.
20) Sedar bahawa menghafal al-Quran merupakan langkah pertama mencari ilmu kerana al-Quran membuka pintu ilmu pengetahuan malah al-Quran membuka semua pintu kebaikan di dunia dan akhirat.
21) Tidak mula menghafal sehinggalah membaca dengan tepat dan betul hukum tajwidnya supaya hafazan bebas dari kesalahan.
22) Berwaspada dengan perasaan bangga. Rasulullah S.A.W bersabda “ Sesiapa yang merendah diri kepada ALLAH S.W.T., ALLAH ‘azza wa jalla akan meninggikan dia.
23) Sempurnakan wudhuk dengan mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W.
24) Berusaha untuk mendapatkan pengakhiran yang baik supaya kita mati dengan al-Quran di dalam hati dan dibangkitkan bersama golongan al-Quran.
25) Membayangkan kenikmatan syurga dan hukuman di dalam neraka. Jika kita tahu al-Quran merupakan penyelamat kita daripada siksa kubur dan neraka dan jika kita tahu pada hari perhitungan nanti kita akan naik tingkat-tingkat syurga dengan al-Quran, ini akan menjadi satu tolakan atau desakan yang kuat untuk menghafal al-Quran dari awal sehingga akhir supaya kita mencapai tingkat syurga yang tertinggi.In sha ALLAH.
No comments:
Post a Comment